Advertisement

Disisih Keluarga Kerana Khalwat

Advertisement
SABAK BERNAM – “Saya tak akan makan rendang, melainkan jika hidangan itu dimasak ibu sendiri,” kata seorang penghuni di rumah Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, di sini.

Nadia (bukan nama sebenar) berkata, kedatangan lebaran kali ini memberi pengertian amat mendalam kepada dirinya kerana terpaksa beraya bersama penghuni wanita lain tanpa keluarga tersayang.

Nadia insaf dengan dosa yang dilakukannya sebelum ini dan ingin menjalin ikatan suci dengan teman lelakinya.

Menurutnya, jauh di sudut hati, dia tetap merindukan keluarganya, namun peristiwa dia ditangkap khalwat pada Oktober tahun lalu menyebabkan dia berasa tawar hati dengan sikap abang dan kakaknya yang lain.

“Aidilfitri yang disambut tahun ini, sudah tiada ertinya lagi kerana saya seolah-olah tersisih daripada keluarga apabila abang dan kakak seperti tidak dapat memaafkan dosa saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Nadia berkata, dia kini insaf dengan perbuatan dan dosa dilakukannya bersama kekasih hati yang dikenalinya di sebuah pasar raya di Selangor.

“Saya ingin menjalin ikatan suci dengannya dan tidak mahu mengulangi kisah lampau dengan melakukan dosa besar, sebaliknya mahu mencari keberkatan Aidilfitri ini untuk muhasabah dan mendekatkan diri pada yang Maha Esa,” katanya.

Menurutnya, dia bergelumang dengan dosa zina apabila mengenali lelaki dari Sarawak itu sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang dan mereka sering melakukan hubungan terlarang di hotel.

“Pada mulanya, kami hanya berkenalan memandangkan dia ada teman wanita. Lelaki itu juga selalu membawa saya tengok wayang, berjalan-jalan hingga kami terjerumus dalam hubungan terlarang.

“Dia juga selalu beri saya wang, hinggalah kami terlanjur lebih tiga bulan sejak Julai tahun lalu, sebelum saya ditahan pihak penguat kuasa jabatan agama kerana bersekedudukan,” katanya.

Menurutnya, selepas dia dicekup di sebuah hotel bajet, di Selangor, abangnya pernah memalukannya di asrama dengan kata-kata menyakitkan hati hingga rahsia dia ditangkap khalwat diketahui rakan-rakan lain.

“Lebih menyakitkan hati, saya digelar pelacur seolah-olah saya tidak ada perasaan dan saya harap Aidilfitri ini dapat menjernihkan hubungan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, dia kini menemui bahagian di rumah Baitul Ehsan yang memberi sinar baru dalam hidupnya dan berharap dapat menjalani kehidupan lebih baik dan meninggalkan dosa besar tersebut.

“Biarlah saya mencari kedamaian di sini, mungkin ada hikmahnya saya ditempatkan di rumah ini bagi menebus kesalahan masa lampau,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Penghuni dan Kaunseling Rumah Baitul Ehsan, Nur Afniza Kahpi berkata, seramai 29 penghuni rumah itu tidak pulang beraya disebabkan perintah mahkamah dan ada di antaranya yang sukarela tidak mahu pulang ke kampung.

Katanya, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengeluarkan peruntukan baju raya kepada semua penghuni rumah itu dan kebanyakannya dijahit sendiri penghuni untuk kegunaan lebaran.

“Mereka juga akan dihidangkan dengan menu raya pada pagi Syawal dan akan mengadakan program baraan raya ke rumah guru-guru pembimbing,” katanya.

-Sumber


Apa Komen Anda?

0 comments:

Post a Comment